15/06/2011

Tetamu Senja


Kita datang ini hanya
sebagai tetamu senja
Bila cukup detik
Kembalilah
Kita kepadaNYA

Kita datang ini
kosong tangan dada
Bila pulang nanti,
bawa dosa
bawa pahala

Pada tetamu yang datang
dan kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra
kepada tuhan
kepada insan

kepada tetamu yang datang
dan lupa jalan pulang
usahlah derhaka pula
pada tuhan
kepada insan

Bila kita lihat
manusia lupa tempat
atau segera sesat
puja darjat
puja pangkat

segera kita insaf
kita ini punya kiblat
segera kita ingat,
kita ini punya tekad

Bila kita lihat
manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat
kelaut biru
kekuning darat

Harus kita lekas
sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas
sembah seluruh rasa belas

Kita datang ini
satu roh
satu jasad
Bila pulang nanti
bawa bakti padat berkat

kita datang ini
satu roh
satu jasad
Bila pulang nanti
bawa bakti
penuh berkat

by : A samad Said
6 april 2007

No comments: